JANUARI 2023

Kerjasama Singapura-Sarawak Antara Perkara Dibincang: Premier


SINGAPURA, Isnin: Kerjasama Singapura-Sarawak dalam penyaluran tenaga boleh diperbaharu dan perdagangan karbon merupakan dua perkara yang telah dibawa untuk perbincangan antara Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatan dari Singapura pada Isnin. 

Premier Sarawak menyatakan demikian ketika ditemu bual pemberita daripada TVS sebelum berangkat pulang ke Sarawak pada lewat petang Isnin. 

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar tiba di Singapura pada pagi Isnin untuk lawatan rasmi pertama sehari beliau ke republik tersebut sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Johari Tun Openg antara ahli rombongan Dato’ Sri Anwar dalam perjumpaan antara Dato’ Seri Anwar dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. 

Dalam perbincangan tersebut Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar  telah membangkitkan isu mengenai cadangan pengeksportan tenaga elektrik dari Sarawak ke Singapura yang juga akan melibatkan persetujuan kerajaan Indonesia.

Kabel elektrik bawah laut dari Tondong, Sarawak ke Singapura akan melibatkan jarak sepanjang 720 KM di mana sekurang-kurangnya 70 % laluan tersebut berada di perairan Indonesia melalui koridor Muri-Midai.

Premier berkata jika menjadi kenyataan melalui projek tersebut dengan kos sehingga SGD 8 bil, Sarawak berpontensi mengeksport sehingga 1,000 MW tenaga ke Singapura. 

Bagi pihak Sarawak, Dato’ Seri Anwar juga telah menyentuh mengenai potensi kerjasama perdagangan karbon antara pihak swasta Singapura dan Sarawak, kata Premier. 

Kerjasama tersebut ketika ini masih dalam peringkat perbincangan antara swasta Singapura dan Sarawak.

Sumber dari : Sarawakku